Nabi Daud menjadi Raja Bani Israel hingga beliau mencapai usia lanjut. Berkat cara pemerintahan yang adil dan bijaksana, maka wujudlah keamanan, kemakmuran serta kemajuan di dalam segala lapangan di seluruh daerah kerajaan dan dirasai setiap warga kerajaan. Kalau ada kejadian kecil saja yang menimpa rakyat, maka rakyat selalu memberitahukan kepada rajanya yang adil itu. Kejadian itu dapat diurus dengan segera oleh raja. Begitu pula kalau ada perselisihan antara rakyat dengan rakyat, tidak ada satu perselisihan pun yang terjadi yang tak dapat diselesaikan oleh Nabi Daud, dengan cara yang sebaik-baiknya dan seadil-adilnya pula. Nabi Daud dalam hidupnya diberkati oleh Allah dengan beberapa orang anak. Sulaimanlah yang paling pintar di antara anak-anak Nabi Daud itu. Kerana melihat akan kemajuan fikiran Sulaiman itu, Nabi Daud mempunyai kepercayaan penuh akan mulianya hari depan Sulaiman; sebab itu pendidikan kepadanya agak diistimewakan pula. Setiap hari, Nabi Daud menyelesaikan beberapa perkara dan perselisihan antara rakyatnya, Sulaiman selalu berada disampingnya, agar Sulaiman bertambah jalan akal dan fikirannya dengan melihat sebab perselisihan dan cara cara penyelesaiannya yang ditetapkan oleh Raja Nabi Daud. Sekalipun Sulaiman dikala itu boleh dikatakan masih kecil, tetapi kerana kemajuan fikirannya yang luar biasa, dia telah dapat menangkap pelajaran dari apa yang disaksikannya itu, sehingga bertambah ilmu pengetahuan dan hikmat akalnya.Melihat kecekapan dan keluarbiasaannya itu, maka Daud telah menetapkan dalam hatinya, bahawa bila dia meninggal dunia nanti, maka Sulaimanlah yang akan menggantikannya menjadi Raja Bani Israel. Kerana ketetapan fikiran inilah makanya Sulaiman dididik demikian rupa, setiap hari melihat dan menyaksikan berbagai bagai perkara dan perselisihan yang diselesaikan oleh Nabi Daud. Pada suatu hari, ketika Nabi Daud dan Sulaiman sedang duduk berdua, tiba tiba datang dua orang lelaki yang bermasalah untuk minta penyelesaian pula atas permasalahannya itu. Dengan segera Nabi Daud memeriksa perkara kedua orang itu dengan disaksikan oleh Sulaiman. Seorang dari kedua orang itu lalu berkata: Saya mempunyai sebidang kebun yang sedang menghijau warnanya. kerana suburnya tanaman yang saya tanam di dalamnya, sehingga setiap orang yang melihat, akan gembira riang memandangnya. Tiba-tiba pada suatu hari, kebun itu dimasuki oleh kambing kepunyaan orang ini, sehingga semua tanaman yang sedang menghijau itu habis seluruhnya dimakan atau dirosakkan kambing itu. Setelah ditanyakan kepada orang yang empunya kambing yang didakwa itu, dia pun membenarkan semua keterangan itu dengan tidak membantah sedikit pun. Hanya sekarang kedua orang yang bermasalah itu meminta ditetapkan hukum apa yang harus dijalankan. Nabi Daud menetapkan penyelesaian perkara ini, dengan mengambil kambing itu sendiri dari tangan orang yang empunya, lalu diserahkan kepada orang yang empunya kebun, sebagai ganti kerosakan tanaman yang disebabkan oleh kambing itu. Tetapi Sulaiman yang baru berumur sebelas tahun itu dengan segera berkata: Penyelesaian cara begitu kurang tepat, ada cara yang lebih baik dan lebih adil. Nabi Daud, kedua orang yang bermasalah dan semua yang turut hadir menyaksikan perkara itu, sama tercengang menyaksikan keberanian Sulaiman dan menunggu-nunggu dengan sabar, cara bagaimana penyelesaian yang dianggap lebih baik oleh Sulaiman itu. Sulaiman lalu berkata: "Lebih baik kambing itu dipinjamkan kepada orang yang punya kebun, dengan membolehkannya mengambil susunya, anak anaknya dan bulunya. Adapun kebun itu dipinjamkan kepada orang yang punya kambing, dia diwajibkan menanaminya dengan tanaman yang dirosaki kambingnya, sehingga kembali sebagaimana sebelum dirosaki; setelah itu kambing dikembalikan pula kepada yang empunya dan kebun pun dikembalikan pula kepada yang punya kebun. Inilah penyelesaian yang lebih dekat kepada keadilan dan yang lebih sah keputusannya dalam menghukum, kata Sulaiman seterusnya. Semua orang yang hadir dan juga orang yang bermasalah dan Nabi Daud sendiri, sama mengakui akan adilnya keputusan secara demikian ini. Mereka mengagumi kebijaksanaan Sulaiman. Inilah tanda yang pertama diperlihatkan Tuhan pada diri Sulaiman, bahawa dia seorang yang akan jadi Nabi dan Rasul sebagaimana bapanya dan dia pulalah yang paling layak menjadi raja, menggantikan bapanya yang sudah tua itu. |
PERANG SAUDARA Sekalipun masih dalam keadaan terlalu muda, tetapi kerana bakat dan kebijaksanaannya, kerana akal dan budi pekertinya, maka Daud sebelum meninggal dunia, telah menetapkan akan menyerahkan mahkotanya kepada Sulaiman. Penyerahan ini pun terjadilah, sehingga Sulaiman sekarang ini menjadi Raja Bani Israel, menggantikan bapanya yang sudah tua dan ingin bersara itu. Dengan pengangkatan ini, anak-anak Daud yang lain merasa tidak senang, karena merekalah yang lebih tua, lebih pantas kata mereka. Perasaan ketidakpuasan ini, lebih hebat lagi pada Absyalum, anak Nabi Daud yang tertua. Selain tertua ia banyak pengalaman, berbadan kuat dan tangkas, ia tahu pula akan selok-belok pemerintahan; tetapi mengapa tidak dia yang diangkat, padahal dialah sebenarnya yang lebih berhak? Dia tidak senang, dia tidak tinggal diam. Dengan terang-terangan dia menyatakan, bahawa dirinya tidak tunduk kepada keputusan bapanya itu dan dia tidak akan mengakui atas penobatan Sulaiman menjadi Raja Bani Israel. Absyalum bekerja segiat-giatnya mendekati bangsanya Bani Israel, ia bergaul dengan mereka dengan pergaulan yang sebaik-baiknya, untuk menarik hati mereka. Ditolongnya mereka dan dikumpulkannya dalam sebuah organisasi yang dipimpin sendiri, Dengan segala daya-upayanya, dia berikhtiar agar supaya rakyat yang dipimpinnya itu hanya tunduk kepadanya dan mencegah mereka mengakui Sulaiman sebagai raja. Kepada para pengikutnya itu dicubanya menanamkan kepercayaan, bahawa dialah yang lebih pintar, lebih berhak menjadi raja, sedangkan Sulaiman dan bapanya sendiri adalah orang yang salah, kesalahan mana harus segera diperbaikinya. Usahanya yang dengan sungguh-sungguh ini berhasil pula. Banyak bangsa Israel telah dapat diperkudanya. Mereka tunduk serta patuh terhadap semua anjuran dan perintahnya, dengan tidak menghiraukan lagi akan perintah Raja Sulaiman. Absyalum sekarang menuju kepada rencana yang terakhir, iaitu akan mengadakan perebutan kekuasaan dengan cara kekerasan. Segala cara-caranya sudah direncanakan, segala persiapan sudah tersedia, sedang pengikut-pengikutnya hanya tinggal menunggu komando saja. Di waktu segala pengikutnya siap sedia itu, dia minta izin kepada bapanya untuk pergi ke desa Jidwan, untuk beristirahat menyampaikan nazar hatinya. Tetapi sebelum ia berangkat, kepada semua pengikutnya dia tinggalkan amanat, bahawa bila nanti terdengar bunyi trompet, supaya mereka semuanya berlarian kepadanya dan lalu bersama-sama mengangkatnya jadi raja. Kerana amanatnya itu diberikan kepada orang banyak, maka berita ini tersiar hampir ke seluruh rakyat. Keadaan ketika itu menjadi genting sekali. Kota Ursyalim ketika itu menjadi ribut, kegelisahan memuncak dengan tiba tiba, orang ramai khuatir, kalau kalau akan terjadi kekecohan hebat. Melihat suasana dan mengetahui akan niat Absyalum itu, bukan main marah dan sedihnya hati Nabi Daud. Tetapi kesemuanya itu ditahannya sekuat-kuat jiwanya. Dengan tenang Daud berkata kepada pengikutnya: Marilah kita lari saja dari sini, memang tidak ada cara yang lebih baik menghadapi Absyalum yang telah ganas itu, selain menghindarkan diri. Begitulah keesokan harinya, Nabi Daud diiringkan oleh semua pengikutnya serta keluarganya, bertolak meninggalkan kota Ursyalim, menghindarkan diri dari keganasan pemberontak yang menginginkan kekuasaan. Akhirnya mereka tiba di pinggir sungai Ardun dan sungai itu terpaksa mereka seberangi. Di seberang sungai itu mereka berhadapan dengan gunung yang tinggi, iaitu gunung Zaitun; gunung itupun terpaksa mereka daki dan ketika itu keluarlah airmata Nabi Daud kerana sedihnya. Ketika itu mulailah didengar oleh Daud, ada golongan yang menghina dia, mencaci-maki serta mengeluarkan kata-kata yang pedas terhadap dirinya; sekalipun sebelumnya mereka menyanjung serta memujinya, membesarkan dan menghormatinya. Begitulah umumnya si rakyat bodoh yang tidak berpendirian; bila seseorang sedang berkuasa, dia dipuja-puja, sebaliknya bila sudah tak berkuasa lagi, sekalipun tidak mempunyai kesalahan apa-apa, dia lalu dicaci-maki dan dihina-dinakan. Penghinaan itu didengar oleh Daud dengan sabar, kerana dia merasa sudah tua sekali, tidak dapat berbuat apa-apa lagi, malah kepada dirinya sendiri Daud berkata: Kalau anakku sendiri sudah berani mahu membunuhku, apalagi orang lain, tentu akan lebih dari itu lagi. Dengan rasa hina diri dan tunduk, Nabi Daud berdoa kepada Allah s.w.t., agar Tuhan menyelamatkan dirinya berserta keluarganya dari segala malapetaka dan agar Allah dengan segera memadamkan pemberontakan yang tidak diinginkan ini. Baru saja Daud sekeluarga serta pengikutnya meninggalkan Ursyalim, Absyalum dengan tenteranya segera menduduki ibu kota itu dengan aman dan tenteram. Segera diumumkannya, bahawa dialah yang menjadi raja yang sah di negeri dan bangsa Israel. Dalam pada itu Nabi Daud pun tidak tinggal diam dengan berpangku tangan dan berdoa saja, tetapi segera pula menyusun kekuatan yang ada padanya, untuk bertindak memadamkan api pemberontakan itu. Beberapa pemimpin perang yang taat kepadanya, selalu dibawanya bermusyawarah, akhirnya semua pemimpin perang Nabi Daud mendapat kata sepakat akan menyerang kota Ursyalim yang sudah diduduki Absyalum dan tenteranya itu. Sebelum tentera Daud berangkat menyerang, Nabi Daud menasihatkan kepada mereka, agar mereka memasuki kota dengan memberikan penerangan dan kebijaksanaan, tidak dengan kekuatan senjata dan dinasihatkan pula supaya mereka sedapat mungkin jangan membunuh Absyalum. Tetapi setelah mereka tiba di kota Ursyalim, penerangan dan kebijaksanaan yang diperintahkan Nabi Daud itu tidak berguna sama sekali. Terpaksalah mereka mengangkat senjata untuk mencapai penyelesaian dengan Absyalum, kerana hanya itulah satu satunya jalan, yang dapat mereka lakukan. Pertempuran segera berkobar dengan dahsyatnya. Tentera Absyalum hancur seluruhnya, Absyalum mati di ujung mata pedang bersama tenteranya. Kota Ursyalim diduduki tentera Nabi Daud kembali, keadaan segera menjadi aman dan tenteram kembali. Sesudah kejadian itu, maka Sulaiman tetap menjadi raja dengan aman dan tenteram bertahun-tahun, sehingga bangsa dan negeri itu semakin maju dan makmur, tidak kurang bahkan telah melebihi daripada zaman pemerintahan bapanya Nabi Daud a.s. Daerah kerajaannya semakin luas juga, serta rakyatnya pun hidup dengan penuh bahagia, patuh dan taat kepada perintah rajanya. Di saat itulah, setelah Sulaiman sampai umur, Allah mengangkat Sulaiman menjadi Nabi dan RasulNya, untuk mengisi negara dan bangsa yang merdeka dan makmur itu dengan semangat agama dan ketuhanan, menjadi bangsa dan negara yang diredai Allah, agar keamanan dan kemakmuran itu tetap dan abadi, bukan hanya aman dan makmur di dunia ini saja, juga menjadi aman dan makmur sampai di akhirat nanti. Sebagai mukjizat besar bagi Nabi Sulaiman, beliau dapat mengerti segala percakapan burung-burung dan dengan menggunakan bahasa (bunyi) bermacam-macam burung dan binatang itu, Nabi Sulaiman dapat bercakap-cakap dengan burung-burung dan binatang-binatang itu. Dengan jalan begitu pula. segala burung dan binatang itupun semua tunduk dan taat kepada Nabi Sulaiman. Diberikan Allah pula mukjizat yang lebih hebat lagi kepada Nabi Sulaiman, ia dapat melihat segala kekayaan alam yang ada di perut bumi, baik yang merupakan emas, perak, besi dan tembaga, begitu pula harta kekayaan yang berada di dalam laut, seperti intan, mutiara dan berbagai-bagai pualam yang mahal-mahal harganya. Segala jin dan setan pun dapat dikuasai oleh Nabi Sulaiman, sehingga kekuatan jin dan setan itu dapat digunakan oleh Nabi Sulaiman untuk menjadi kuli, kaum pekerja yang harus mengeluarkan semua kekayaan dan perhiasan sebanyak itu, guna mendirikan rumah-rumah dan gedung-gedung yang bagaimana juga besar dan cantiknya. Nabi Sulaiman malah dapat pula menguasai angin, sehingga angin itu dapat dipergunakan oleh Sulaiman sebagai kenderaannya, bila Sulaiman akan berpergian ke tempat yang bagaimana jauh dan tingginya. Rakyat Sulaiman bukan hanya makhluk yang bernama manusia saja tetapi segala burung, binatang, jin, setan, semut-semut dan segala yang melata di muka bumi ini, menjadi rakyatnya yang patuh dan tunduk di bawah kekuasaannya. Dengan kenderaannya yang bernama angin itulah Nabi Sulaiman dapat berpergian ke sana ke mari memeriksa kerajaan serta rakyatnya, bahkan sampai ke negeri Askalan, beliau sampai pula di sebuah lapangan luas yang penuh dengan semut. Ketika Nabi Sulaiman dan tenteranya sampai di lapangan itu, dari jauh Nabi Sulaiman telah melihat semua semut itu terperanjat benar atas kedatangannya itu. Semut-semut itu berkumpul, di mana mereka bermusyawarah bersama-sama, bagaimana menghindarkan diri dari bahaya injakan kaki tentera Sulaiman. Semua itu dapat di lihat, didengar dan difahami oleh Nabi Sulaiman. Dengan terang dapat didengar oleh Sulaiman, komando semut itu memberikan perintah kepada rakyatnya: Masuklah kamu dengan segera ke dalam rumahmu masing-masing, agar jangan menjadi mangsa injakan kaki tentera Sulaiman, sedang mereka sendiri tidak merasakannya Mendengar kata-kata semut itu, Nabi Sulaiman tersenyum simpul dan merasa gembira atas kesanggupan yang diberikan Allah kepadanya, untuk mengerti kata kata semut itu. Terasalah oleh Sulaiman, bahawa dia Nabi sebagaimana juga Nabi-nabi lainnya dan dia merasa wajib memerintahkan kepada manusia, agar manusia mengasihi akan semua binatang yang melata di bumi ini, jangan sampai menganiaya dengan sengaja atau dengan tidak diketahui. Ketika itu Nabi Sulaiman menyembah dan sujud kepada Tuhan, bersyukur atas segala nikmat dan pemberian Tuhan, serta mendoa agar dia dan kaumnya dimasukkan Allah dalam golongan hamba Allah yang baik. "Semua ini adalah kurnia Allah atas diriku untuk menguji, apakah aku dapat bersyukur atau akan berkufur, kata Sulaiman a.s. NABI SULAIMAN DAN RATU BALQIS Nabi Sulaiman bercita-cita ingin mendirikan sebuah rumah suci di Syam, untuk dapat dipergunakan sebagai tempat ibadat menyembah Allah dan pula sebagai pengorbanan dari dia sendiri kepada Allah. Tiang-tiang yang tinggi dan besar lalu didirikan, dinding-dinding tembok yang besar dan agung pun berdiri dan tidak lama kemudian Rumah Suci (Baitul Maqdis), yang dicita-citakan Nabi Sulaiman itupun jadi kenyataanlah, yang sampai sekarang masih ada dan tetap ada dan masih tetap bernama Rumah Suci (Baitul Maqdis atau Jerusalem). Kepada semua manusia yang beriman kepada Allah, diperintahkan Tuhan, untuk datang berhaji ke tempat suci itu setiap tahun. Tetapi kerana kemudian, oleh bangsa Israel tempat itu dijadikan tempat menyimpang dari ajaran Allah, maka kepada Nabi Muhammad diperintahkan Tuhan untuk memindahkan tempat suci itu ke Mekah. Ke sanalah umat Islam menghadapkan muka dalam sembahyang dan ke sana pulalah umat Islam setiap tahun datang berkumpul melaksanakan ibadat haji mereka. Baru saja Nabi Sulaiman selesai mengerjakan Rumah Suci itu, Nabi Sulaiman berangkat meninggalkan tempat itu memenuhi nazarnya sebelum mendirikan Rumah Suci itu. Nazar (janji) akan mengembara di sekitar muka bumi untuk melihat dan mengetahui kebesaran Allah yang mencipta bumi ini juga maksudnya. Mula mula Nabi Sulaiman menuju ke tanah Yaman, lalu memasuki daerah Sanak. Di daerah ini beliau mengalami kekurangan air. Ke mana juga dicarinya, tidak ada air dijumpai. Ke puncak bukit yang tinggi, di bawah jurang yang dalam, kadang kadang digalinya berupakan sumur yang dalam, namun air tidak ditemuinya. Di saat hampir menemui jalan buntu untuk mendapatkan air, tiba tiba lalulah terbang melintas di atas kepalanya se ekor burung Hud Hud. Burung itu segera dipanggil oleh Sulaiman dan kepada burung itu diperintahkannya untuk mencari tempat yang ada airnya dan menunjukkan jalan kepadanya menuju ke tempat itu. Kerana burung Hud Hud yang diutus itu lama tidak kembali, maka Nabi Sulaiman menjadi marah dan mengucapkan sumpahnya, akan menghukum burung itu dengan menyembelihnya, bila tidak segera datang dan bila burung itu tidak dapat menerangkan sebab sebab dari kelewatannya itu. Baru saja Nabi Sulaiman mengucapkan sumpahnya, burung Hud Hud yang ditunggu-tunggunya itupun datanglah dengan merendahkan kepala dan menggerak-gerakkan ekornya, tanda minta maaf dan minta ampun kepada Nabi Sulaiman atas kelewatannya itu. Akhirnya Hud Hud bercerita kepadanya: Saya sudah dapat melihat di tempat yang jauh di sana, sesuatu yang belum pernah engkau ketahui, sebuah tempat yang belum pernah tunduk di bawah kekuasaanmu dan engkau sendiri tidak mengetahui tentangnya. Alangkah terkejutnya Nabi Sulaiman mendengar khabar ini, sebab belum pernah dia mendengar khabar yang demikian. Kepada burung Hud Hud diperintahkannya untuk melanjutkan ceritanya itu dan alasan apakah yang menyebabkan kelambatannya. Hud Hud melanjutkan ceritanya: Adapun negeri itu bernama Saba dan yang menjadi rajanya adalah seorang perempuan. Ia sangat berkuasa atas rakyatnya serta istananya pun besar sekali. Tetapi sayang, penduduk dalam negeri itu rupanya dipengaruhi setan dan iblis, kerana ternyata mereka sudah tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara darah dan daging, begitu pula antara kebenaran dan kepalsuan. Penduduk negeri itu umumnya buta dan bodoh-bodoh, tidak mempunyai pemikiran dan kemajuan sama sekali. Mereka menyembah matahari, bukan menyembah Allah. Saya merasa sedih melihat keadaan mereka yang demikian. tetapi apa dayaku, kerana penduduk negeri itu kuat-kuat dan besar-besar badannya. Pada pendapatku, alangkah baiknya bila mereka diperintahkan untuk menyembah Allah, iaitu Tuhan yang sebenarnya yang mempunyai kerajaan yang Maha Agung dan Maha Besar. Nabi Sulaiman sungguh terkejut mendengar berita ini, tetapi dia tidak mahu mengejutkan Hud Hud yang telah bercerita itu. Dia hanya berkata: Akan kuselidiki dahulu khabar yang kau bawa ini. Aku ingin mengetahui apakah engkau berkata benar atau berkata bohong dalam hal ini. Kalau memang benar apa yang telah kau katakan tadi, maka inilah se pucuk surat dariku, segera kau sampaikan surat ini kepada raja dan bangsa yang telah kau ceritakan itu. Aku akan menunggu khabar jawapannya selekas mungkin! Surat itu segera diambilnya dari tangan Nabi Sulaiman, lalu burung itu terbang melayang, menyampaikan surat itu ke alamat yang sudah ditentukan, iaitu raja (ratu) dan rakyat Balqis di negeri Saba. Hud Hud terbang menyusup ke atas mahligai istana Ratu Balqis. Dengan melalui sebuah jendela, surat itu dijatuhkannya dalam istana itu tepat di hadapan Ratu Balqis sendiri. Surat tersebut jatuh, lalu diambil dan dibaca oleh Ratu Balqis: Surat ini dari Sulaiman. Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Penyayang. Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku dan hendaklah kamu mendatangiku dengan menganut Agama Islam. Baru saja melihat dan membaca surat yang ajaib serta isinya yang mengejutkan itu, Ratu Balqis segera mengumpulkan semua menteri kerajaan, pembesar-pembesar dan ahli-ahli cerdik pandai, untuk bermesyuarat, guna meminta pertimbangan mereka tentang isi surat yang baru di terimanya itu; apakah akan menyerah dan tunduk kepada apa yang di maksud oleh Raja Sulaiman, atau tidak akan mempedulikan sama sekali isi surat itu. Mereka sama berkata: Kita ini adalah suatu bangsa yang berani dan ahli perang, bukan suatu bangsa yang hanya pandai berunding dan mengalah saja, Kami sudah menetapkan dirimu, ya Balqis, untuk memutuskan segala sesuatu dan memerintah kami. Tetapkanlah apa yang hendak kau putuskan, kami akan menjalankannya dengan penuh rasa taat dan tunduk kepadamu. Bila engkau perintah ke langit, kami mahu terbang, ke laut kami menyelam, ke lurah kami menurun dan ke bukit pun kami akan mendakinya:. Setelah Balqis mengetahui tanda-tanda dari para menteri dan pembesar-pembesar yang menghendaki perang itu, segera ia mengemukakan pendapatnya, yang bertentangan dengan kehendak mereka; dengan tenang berkatalah Ratu Balqis: Fikiran yang menghendaki perang itu, adalah fikiran yang salah, selama jalan damai belum ditempuh sedapat-dapatnya, kerana perdamaian lebih baik dari berperang. Begitulah menurut fikiran orang waras. Bila tentera telah dapat mengalahkan musuhnya di medan perang, negeri yang dikalahkannya itu pasti mereka rusak dan mereka hancurkan, segala harta kekayaannya mereka rampas, orang-orang yang mulia mereka hinakan sebaliknya orang-orang hina dimuliakannya. Akhirnya mereka memperbudak, lalu menjalankan tangan besi, kalau dapat berabad abad lamanya, atau untuk selama-lamanya. "Aku, kata Ratu Balqis selanjutnya, Ingin mengutus sebuah delegasi yang terdiri dari orang-orang yang terhormat dari bangsa kita sendiri, untuk menghadap Raja Sulaiman dan pula untuk memberikan hadiah yang paling berharga. Khabar ini sebagai jawapan terhadap surat Sulaiman itu, dituliskan dalam sebuah surat, lalu diserahkan kepada burung Hud Hud itu, untuk disampaikan kepada Sulaiman. Untuk menyambut kedatangan delegasi Balqis itu, Sulaiman mengadakan persiapan seperlunya. Sulaiman ingin memperlihatkan kegagahan dan keluarbiasaannya. Semua jin dipanggilnya dan diperintahkan untuk mendirikan sebuah istana dari segala macam batu dan perhiasan yang berada di perut bumi di dalam laut. Dalam waktu yang singkat saja, gedung besar, iaitu istana yang terindah yang belum pernah ada tandingannya di muka bumi Allah ini, sekarang menjelma. Dindingnya terbuat dari kaca yang beraneka warna, lantainya daripada emas dan perak, serta pasirnya dari intan dan berlian dan berbagai-bagai batu berharga lainnya, Semua itu dikemukakan dan didirikan oleh segala jin dengan petunjuk Nabi Sulaiman sendiri. Delegasi yang ditunggu tunggu itupun datanglah. Kedatangan mereka disambut dengan sambutan yang hormat dan meriah. Alangkah terkejut dan kagumnya mereka melihat kemewahan yang tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata itu. Dengan rasa malu, mereka menyerahkan hadiah besar yang dianugerahkan Ratu Balqis kepada Raja Sulaiman. Melihat hadiah itu, Nabi Sulaiman hanya minta maaf dan berkata: "Maaf saja, kuharap agar hadiah ini dikembalikan saja kepada Ratu Balqis, kerana pada diriku telah cukup segala-galanya dianugerahi Allah, baik berupa kekayaan mahu pun perhiasan, bahkan Tuhan telah menganugerahkan yang cukup, kekuasaan yang besar dan pangkat kenabian yang mulia yang belum pernah dipunyai oleh seorang manusiapun di atas dunia ini. Aku tidak memerlukan emas perak, sekalipun sebesar bumi ini. Kulihat engkau sekalian ini hanya mengenal hidup yang lahir (nyata) di dunia ini saja dan dengan penghidupan dunia yang begini saja, kamu telah dapat bergembira diri. Kembalilah kamu ke negeri dan rajamu. Katakan kepadanya, bahawa aku tidak memerlukan harta kekayaan, tidak perlu kekuasaan dan segala-galanya. yang perlu agar kamu sekalian tunduk dan menyembah akan Allah, yang telah menjadikan semuanya ini. Kuharap agar kamu sekalian patuh menjalankan perintah Allah itu, janganlah kamu menyembah selain daripada Allah, serta katakan pula kepada mereka, bahawa kami akan segera mengirimkan tentera kami, untuk menggempurmu, bila ternyata kamu tidak mahu tunduk kepada kebenaran ini dan yang hanya mempercayai kepada kekuatan tenteramu saja! Delegasi itupun segera kembali mendapatkan raja dan bangsanya, lalu disampaikannya hasil pertemuan dengan Raja Sulaiman itu. Mendengar semua itu, dengan perasaan yang tenang Ratu Balqis berkata: Tidak ada daya dan usaha lain lagi, kecuali kita hanya tunduk dan taat menurut ajaran Sulaiman itu. Ratu Balqis ingin menghadap sendiri kepada Sulaiman, serta ia bermaksud akan mengucapkan kalimat iman di hadapan Sulaiman. Ratu itupun berangkatlah diiringkan oleh semua pengiring dan pengawalnya. Setelah Nabi Sulaiman mengetahui akan keberangkatannya itu. maka beliau berkata kepada semua jin: "Siapakah di antaramu yang sanggup mengambil istana Ratu Balqis dan membawanya ke mari, sebelum Ratu Balqis sendiri sampai di sini untuk menyatakan Islamnya dihadapanku? Raja dari segala jin lalu menjawab: "Saya sanggup membawa mahligai Ratu Balqis ke mari dengan segera dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum pertemuan ini berakhir kerana saya mempunyai kekuatan yang luar biasa hebatnya. Dengan kekuatan itu saya jamin, bahawa segala yang ada dalam mahligai itu akan selamat. Tiba tiba muncul dan berdiri seorang manusia beriman, yang kepadanya oleh Allah telah dianugerahi pengetahuan yang cukup dan kekuatan ghaib, lalu ia berkata kepada Raja Sulaiman: "Insya Allah saya sanggup mendatangkan mahligai itu ke mari dan mahligai itu akan berada di sini, sebelum engkau menggerakkan pelupuk matamu, ya Raja Sulaiman. Ya, dalam sekelip mata saja, mahligai ratu itupun sudah berdiri dengan megahnya di hadapan Nabi Sulaiman. Di situ Nabi Sulaiman lalu bersujud dan bersyukur pula kepada Tuhannya, atas kekuasaan Tuhan yang telah diperlihatkan kepadanya. Beliau bersujud dan bersyukur kembali berulang-ulang, serta terus-menerus untuk menyembah Allah Yang Maha Bijaksana, Maha Besar dan Maha Kuasa itu. Akhirnya Ratu Balqis pun datanglah. Kepada Ratu Balqis, Sulaiman berkata: "Beginikah istanamu? Setelah diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, Ratu Balqis berkata: "Agaknya itulah. Alangkah kaget dan kagumnya Ratu Balqis setelah melihat kejadian itu, iaitu istananya sendiri sudah berada di hadapan istana Sulaiman, sebelum dia sendiri sampai di tempat itu. Dalam pada itu Nabi Sulaiman sudah memerintahkan pula untuk membangun sebuah mahligai yang terbuat dari kaca yang putih bersih; kemudian Ratu Balqis dipersilakan masuk ke dalamnya. Ratu Balqis mengira bahawa mahligai kaca itu air yang sedang mengalir berombak, lalu dia membukakan betisnya untuk memasukinya, tetapi kemudian ternyata bahawa itu bukanlah air. Dengan kekhilafannya ini, maka terbukalah hati dari Ratu Balqis yang selama ini tersesat di dalam gelombang kekayaan dan kekuasaan itu. Dia telah tersesat dan terkhilaf, sebagaimana kekhilafannya terhadap kaca yang di kiranya air. Dia insaf dan terbukalah hijabnya, sehingga dengan kejadian itu, kini dia merasakan akan kesesatannya, kerana dia mengira bahawa kekayaan itu dapat membahagiakannya, begitu pula kekuasaannya di dunia ini adalah kekuasaannya yang paling besar; baru sekarang dia mengetahui, bahawa ada yang mempunyai kekuasaan yang dapat melebihi kekuasaannya. Dia menjadi insaf dan bertaubat kepada Tuhan: "Ya Allah, Tuhanku ! Sudah lama saya tersesat sehingga saya tidak mengenalMu dan tidak pernah menyembahMu. Saya sudah tersesat dalamasa yang panjang, kerana kelobaan saya atas harta kekayaan pemberianMu itu, sehingga saya sudah aniaya terhadap diriku sendiri dengan melupakan Engkau, ya Allah. Saya kira hanya harta dan kekuasaan itu saja bahagia dan rahmat dari Engkau, rupanya itu sama sekali belum bererti apa-apa, bila dibandingkan dengan rahmat dan nikmatMu yang lainnya. Ampunilah saya ini, ya Allah! Sekarang saya insaf dan taubat, saya akan menerima pelajaran Sulaiman dengan menganut Agama Islam, iaitu agama Engkau, ya Allah. Saya akan tunduk dan taat kepadaMu, ya Allah, ampunilah saya, kerana Engkau suka memberi ampun dan penerima taubat pula. HUKUMAN ALLAH TERHADAP BANI ISRAEL Berkumpul dan datang silih berganti nikmat dan rahmat Allah atas bangsa Israel. Mereka dilepaskan Allah dari berbagai-bagai azab dan seksa. DiutusNya kepada mereka beberapa Nabi dan Rasul, untuk melepaskan mereka dari berbagai azab dan seksa itu, guna membimbing mereka ke jalan yang benar, sehingga mereka dengan pimpinan para Nabi dan Rasul itu, mendapat kemakmuran dan kemajuan yang luar biasa, penuh dengan kehidupan yang bahagia dan senang, menjadi pemimpin di atas dunia ini. Sungguhpun begitu mereka senantiasa berpaling juga dari jalan yang benar dan baik itu. Setiap kali mereka mendapat kecelakaan dan kesengsaraan yang luar biasa, menginginkan pimpinan dan Nabi. Setelah mereka aman dan bahagia kembali dengan pertolongan pemimpin dari Nabi itu, kembali mereka tak mengakui akan Nabi itu, mereka lupakan segala nikmat dan rahmat Allah itu, bahkan para pemimpin dan Nabi itu banyak pula yang mereka bunuh, lalu mereka kembali kepada kesesatan dan berbagai-bagai kejahatan. Kalau mereka telah tersesat dan derhaka, mereka tidak dapat lagi dibelokkan ke arah kebenaran hanya dengan peringatan-peringatan dan ajaran-ajaran dari Allah saja, bagaimana juga benarnya peringatan dan ajaran itu, mereka tetap menolaknya, bahkan mereka ludahi. Hanya dengan seksaan jualah yang dapat membetulkan kembali tindakan mereka itu. Oleh sebab itu Tuhan mengirimkan berbagai-bagai seksaan, untuk membetulkan tindakan mereka yang salah itu. Sejak dahulu kala Tuhan menurunkan berbagai-bagai seksa dan azab terhadap Bani Israel. Tetapi kini mereka telah melupakan pula akan semua azab dan seksaan Allah itu, mereka bertindak dengan berbagai-bagai kejahatan lagi. Kesesatan dan kejahatan itu telah demikian rupa pula hebatnya, sehingga tidak dapat dibiarkan begitu saja. Tuhan mengutus pula kepada mereka seorang Nabi, Armiya namanya. Nabi ini dengan seluruh tenaga dan daya yang ada padanya, berusaha keras untuk mengembalikan. Diperingatkan oleh Nabi ini, akan ajaran-ajaran para Nabi dan Rasul yang telah meninggal dunia. Diperingatkan kepada mereka akan ajaran-ajaran Kitab Suci yang telah diturunkan Allah dengan perantaraan Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu. Diperingatkan pula akan azab dan seksa bagi bangsa yang telah menderhaka ajaran-ajaran yang benar itu. "Ingatlah kepada seksaan yang menimpa Raja Namrud dan Firaun, ingatlah akan seksaan yang ditimbulkan oleh tentera Sanharib yang telah menghancur leburkan negeri Babilon dan rakyat-nya! Ingatlah akan berbagai-bagai azab yang berupakan angin taufan dan hujan batu, yang berupakan berbagai-bagai penyakit menular dan taun, yang berupakan udara yang panas terik dan lain-lainnva! Demikianlah Nabi Armiya memperingatkan kepada mereka; tetapi mereka tidak mahu mendengarkan dan menurutinya. Tuhan tidak akan henti-hentinya pula menurunkan seksa dan azabnya, selama manusia tidak bosan-bosannya berbuat kejahatan dan kesesatan. Terhadap bangsa Israel yang sudah tidak mahu dinasihati itu, tidak ada gunanya nasihat lagi, Lalu Tuhan utus kepada bangsa itu tentera yang paling kejam, yang dipimpin oleh seorang raja dan jeneral yang lebih kejam, iaitu tenteranya Nebukadnezar (Bakhtanassar) yang termasyhur itu. Dari arah Timur, tentera ini menyerbu dengan jumlah yang sangat besar, belum pernah ada tentera di dunia ini yang lebih besar jumlahnya dari tentera Nebukadnezar ini, seakan-akan gelombang demi gelombang, banjir demi banjir, mereka menyerbu dan terus menyerbu. Tidak ada sebuah kekuatan pun di atas dunia ini yang dapat menghalanginya, siapa saja yang melawan dibunuh mati, rumah-rumah, gedung dan kota-kota dihancurkannya sampai rata dengan tanah. Bangsa Israel yang masih tetap tinggal hidup, sebagai sisa pembunuhan dan penyembelihan, semuanya dikumpulkan menjadi tawanan, lalu dibuang jauh dari negeri mereka sendiri. Kota Baitul Maqdis dan Rumah Suci pun disapu bersih, sehingga hilang kehormatannya sama sekali. Semua Kitab Suci pun mereka bakar sampai habis. Lama pula konon masanya Nebukadnezar menguasai negeri Bani Israel, sampai kepada beberapa keturunan, dengan segala kekejamannya yang tidak ada tolok bandingannya. Akhirnya kerajaan kejam ini menjadi semakin lemah, hilang kekuatannya, sehingga tak sanggup berdiri lagi. Kekuasaan di seluruh Babilon dan bangsa Israel, akhirnya dipegang oleh seorang raja yang baik hati, lemah-lembut dan suka bergaul dengan rakyat. Dengan tenang raja ini mendidik dan mengumpulkan serta memerintah bangsa Israel yang sudah hancur-lebur dan cerai-berai itu menjadi suatu bangsa yang berpadu-satu. Kita ini adalah bangsa yang terhormat, keturunan Nabi Yaakub dan anak-cucu Nabi Daud yang maha besar. Tanahair kita adalah Syam, yang penuh dengan sumber-sumber kekayaan, Kita adalah bangsa yang merdeka dan kuat dahulunya. Tetapi kerana kesalahan-kesalahan kita sendiri, kita dapat diusir musuh dari tanahair kita itu, kerana kita tidak mahu tunduk kepada peraturan, ingin menurutkan kemahuan diri sendiri saja. Sekarang marilah kita bersatu, mengumpulkan tenaga dan kekuatan kembali ke tanahair kita yang sudah lama kita tinggalkan itu! Kerana sudah mengalami benar-benar bagaimana pahit dan getirnya terusir dari tanahair sendiri, menjadi tawanan dan budak belian, dengan kerja paksa yang berat dan hina-dina, maka apa yang diucapkan oleh pemimpin itu, sangat meresap dalam kalbu dan jiwa mereka. Dengan keinsafan inilah mereka kembali bersama-sama ke tanah airnya sendiri, tanah Syam (Palestin) Dengan kegiatan bekerja dan persatuan yang teguh, bangsa dan Kerajaan Israel berdirilah meliputi tanah Syam. Mereka hidup dengan baik dan berketurunan yang banyak, sehingga berdirilah pula kebun-kebun yang luas, kota-kota yang besar, desa-desa yang aman dan penuh dengan kebahagiaan. Seharusnya mereka bersyukur atas semua nikmat dan rahmat Tuhan itu. Tetapi setelah hidup senang dan bahagia, mereka kembali melupakan Tuhan. Kembali menurutkan kehendak diri sendiri. Mereka lupa akan segala pengalaman dan penderitaan mereka selama terusir; malah masing-masing dirinya yang sudah senang dan kaya itu merasa sudah kuasa dan takkan mahu tunduk pula kepada kebenaran lagi. Begitulah jiwanya bangsa Israel itu. Dengan senang mereka naik sesudah jatuh, tetapi dengan mudah pula mereka lupa daratan, sehingga berbuat jahat dan sewenang-wenang lagi. Kalau mereka sudah menjadi jahat kembali, maka tidak ada kata-kata dan ajaran yang dapat menginsafkannya kembali. Mereka hanya insaf kembali kalau sudah dikutuk dengan seksa yang sehebat-hebatnya. Masyarakat mereka yang sudah mulai aman dan bahagia, sekarang mulai kacau kembali. Penuh sesak dengan berbagai-bagai kejahatan dan kemesuman. Orang-orang suci dan para Nabi yang diutus Tuhan untuk memimpin mereka, bukan hanya mereka tolak dan hinakan saja, bahkan banyak pula mereka bunuh. Dua Nabi Suci yang paling penyantun, iaitu Nabi Zakaria dan Nabi Yahya menjadi korban keganasan mereka. Bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang hauskan darah. Riwayat berulang, bukan sekali ulang, tetapi berkali-kali. Terhadap mereka dikirim Tuhan tentera kejam yang jauh lebih kejam dari tentera Nebukadnezar, iaitu tentera Judarz. Tentera itu tanpa sebab peringatan sama sekali, lalu menyerang seluruh negeri dan bangsa Israel dari segala jurusan. Dengan kekuatan tentera yang jauh lebih banyak, dengan kekejaman yang jauh lebih hebat, tanah Syam yang didiami bangsa Israel itu mereka hancur-leburkan menjadi abu. Rakyatnya mereka sembelih dan koyak-koyak sebagai harimau menerkam mangsanya. Bangsa dan negara Israel kembali hancur-lebur. Sebahagian besar mereka musnah dan sebahagian kecil saja dapat meloloskan diri dari maut, lari ke mana saja ke timur dan ke barat, tidak keruan sama sekali. Begitulah nasibnya negara dan bangsa yang telah mendapat cop kemarahan dari Allah. Itu disebabkan kerana engkar akan ajaran-ajaran Allah, membunuh dan membinasakan para Nabi dan Rasul Allah; dan semua itu kerana kemaksiatan mereka yang melampaui batas, sehingga seksaan Tuhan datang melampaui batas pula hebatnya. PERGOLAKAN DI ANTARA DUA FAHAMAN Ada dua orang bersaudara di antara golongan Bani Israil juga. Keduanya bersaudara kandung. Tetapi hairan, satu sama lain bertentangan dalam pendapat dan pandangan hidup, bertentangan faham dan ideologi; ibarat buah sepohon dan sekebun tempat tumbuhnya, tetapi rasa, yang sebiji manis, sedang yang sebiji lagi pahit sepahit-pahitnya. Yahuza, demikianlah nama salah seorang di antara kedua orang yang bersaudara itu. Dia ini adalah seorang yang mukmin dan mendasarkan hidup dan perjuangannya kepada dasar ketuhanan. Tahu akan darjat diri tempat di mana dia hidup sekarang menjelang matinya. Sifatnya pemaaf dan pemurah hati, penyantun terhadap sesama dan suka merendahkan diri, tidak terlalu tergoda oleh keriang-gembiraan dunia dan hartabenda kekayaan. Yang seorang lagi dari kedua orang itu bernama Qutrusy. Dia tidak mahu mengenal Tuhan dan hari Akhirat. Hidupnya dalam kekafiran tanpa agama, hanya berpedoman kepada otaknya sendiri saja. Sifatnya kasar dan bakhil sekali, selalu menganggap dirinya lebih pintar dan lebih kuasa dari semua orang. Ia selalu memandang rendah kepada orang dan golongan lain, lebih-lebih kepada orang yang beriman kepada Allah dan senantiasa beribadat. Setelah bapa kedua orang bersaudara ini menjadi tua dan dekat waktunya meninggal dunia, kedua anaknya itu dipanggilnya. Sang bapa merasa khuatir bila dia meninggal dunia kalau-kalau kedua anaknya ini akan berebutan harta peninggalannya yang begitu banyak dan berselisihan. Agar perselisihan yang tidak diharapkannya itu jangan sampai terjadi, maka di saat itu juga semua harta-benda kekayaannya yang banyak itupun, dibahagikannya sama banyak antara kedua anaknya itu. Sesudah dibahaginya sama rata, masing-masing merdeka memperbanyak dan menghabiskan hartanya itu sekehendak hati mereka. Adapun Yahuza telah menetapkan niat dan rencana dalam hatinya, akan menggunakan harta yang diterimanya itu untuk keperluan segala sesuatu yang diredhai Allah, sebagai tanda bakti dan taatnya kepada Tuhan, tanda syukur dan berterimakasih kepada Allah. Dia akan gunakan segala harta dan wang yang ada padanya itu untuk membeli dan menebus Syorga yang dijanjikan Allah. Harta itu selalu dipergunakannya untuk menolong orang-orang yang sengsara hidupnya, orang-orang yang lapar dan dahaga kerana miskinnya. Dia mendirikan jambatan dan memperbaiki jalan yang rusak untuk dilalui orang banyak, serta dia membantu orang-orang yang mendapat kecelakaan dan yang ditimpa bahaya. Tidaklah hairan kalau hartanya itu bukan semakin bertambah banyak, malah semakin sedikit dan akhirnya habis samasekali; tetapi Yahuza tetap tenang dan sabar. Dicukupkannya apa-apa yang dapat dicarinya sehari-hari untuk penghidupannya, bahkan kadang-kadang dia tidak mendapatkan apa-apa untuk dimakannya, lalu dia berpuasa tanda dia bermohon kepada Allah agar diberi rezeki. Bila dia mendapat rezeki yang agak banyak, maka bertambah-tambah syukur dan ibadatnya kepada Allah. Tidak jemu-jemunya lidah serta anggota tubuhnya menyebut dan menyembah Allah. Adapun Qutrusy dengan harta pusaka yang diperolehnya itu semakin bertambah lupa dia kepada Tuhan, kerana asyik mengurus harta dan kekayaannva itu saja. Dengan tidak kenal penat dan lelah, siang dan malam tidak ada yang difikirkannva. selain bagaimana caranya untuk menjadikan harta yang banyak itu agar menjadi lebih banyak lagi. Satu sen pun dia tidak mahu memberikan hartanya itu kepada orang-orang yang bagaimana juga melarat dan miskinnya, apalagi untuk keperluan sosial dan umum, sedikitpun tidak pernah waktunya dipergunakan untuk mengingat dan menyembah Allah, sebab fikirnya, menyebut dan menyembah Allah itu membuang-buang waktu kepada yang tak berguna dan tidak mendatangkan hasil saja, dapat merugikan diri sendiri dan berbodoh-bodoh. Telinganya ditutupnya serapat-rapatnya, bila mendengar suara orang yang meminta, pintu rumahnya dikunci serapat-rapatnya bila ada orang yang mengharapkan bantuan dan pertolongan, hanya dibuka selebar-lebarnva bagi orang yang akan menambah untung dan kekayaan semata. Dengan hartanya itu, dia berhasil membangun dua buah kebun vang besar dan luas. Mengurus dan memajukan kedua kebun itulah segala umur dan kekayaannya ditumpahkan. Kebun itu teratur rapi, bersih dan menghijau. Tumbuh di dalamnya berbagai-bagai tanaman yang selalu mendatangkan hasil yang berlipat ganda; di tengah-tengahnya dibuatnya taman dan jalan-jalan yang bersimpang-siur, sedang di kelilingnya berdiri rumah-rumah tempat tinggal sebagai istana layaknya, enak dipandang mata, sejuk perasaan bila memasukinya, seakan-akan syurga di atas dunia. Tidak kurang pula dengan sungai-sungainya yang mengalir air jernih, untuk diminum dan tempat mandi bersenang-senang. Buahnya lebat lazat dan nyaman kalau dimakan, daunnya yang rimbun segar itu dipergunakan untuk berteduh dan berlindung di kala musim panas. Semua orang tertarik akan kebun yang moden itu, hal mana menambah banyak hasil yang diperoleh daripadanya. Qutrusy tidak bosan-bosannya memandang dan mengurus kebun yang cantik molek dan mendatangkan keuntungan yang tidak sedikit itu. Siang-malam dengan asyiknya dia keluar-masuk kebun itu, untuk memandang buah-buahan yang lebat dan warnanya yang menghijau. Kekayaannya makin berlimpah-limpah, hidupnya semakin senang dan bahagia rasanya. Dia dianugerahi Allah pula beberapa orang anak yang sihat-sihat serta gagah-gagah. Tetapi dengan semua nikmat dan anugerah Allah itu, hidupnya semakin lupa dan jauh dari Allah, kesombongan dan kebongkakkannya semakin menghebat, kebakhilannya pun menjadi berlipat-ganda pula. Tidak pernah lidahnya dipergunakan untuk mensyukuri nikmat Allah itu dan tidak pernah pula dahinya direndahkan untuk menyembah dan beribadat. Kebunnya makin diperluas dan diperluas juga, rumah-rumah dan istana yang ditempatinya dipertinggi dan dipermoden pula, orang gajinya makin diperbanyak. Tetapi semakin senang dan kaya, dia semakin kafir dan lupa kepada Tuhan yang telah menjadikan dirinya dan hartabenda sebanyak itu. Pada suatu hari, setelah lama tak berjumpa kedua orang bersaudara iaitu Qutrusy dan Yahuza, mereka bertemu pada suatu tempat. Alangkah terkejutnya Qutrusy melihat saudaranya yang berpakaian compang-camping itu. Matanya mengejek, mulutnya segera menegur saudaranya itu: Ke mana perginya harta dan kekayaanmu itu? Ke mana perginya emas dan perakmu? Sekarang ternyatalah akan kebodohanmu dan kepintaran diriku. Engkau hidup melarat dan compang-camping. Tidak mempunyai teman dan tak akan dipandang oleh orang banyak sedikitjuga. Adapun keadaanku boleh kau lihat sendiri. Hidupku senang, bahagia selamanya. Banyak harta dan anak keturunan, banyak teman dan pembantu. Cubalah masuk ke dalam kebunku ini, lihatlah di sana pemandangan dan hasilnya, daunnya yang rimbun menghijau, buah-buahannya yang lebat dan lazat. Jalan-jalan dan rumah-rumahna yang cantik dan teratur, sungai-sungainya yang senantiasa mengalir tidak kering-keringnya. Setiap hari dan bulan terus-menerus mendatangkan hasil dan keuntungan. Adapun engkau ini selalu memikirkan Tuhan dan Akhirat saja. Aku tidak perlu tahu tentang Tuhan dan Akhirat itu. Akupun tidak perlu Syorga yang dijanjikan Allah, sebagai katamu selama ini. Aku ini sudah dapat membuat Syorgaku sendiri dengan kepintaran dan tenagaku sendiri. Mendengar itu Yahuza menjawab dengan tenang: Engkau sudah kafir mengengkari Allah, sudah tidak percaya alam akhirat, Engkau sudah tidak percaya akan hidup kembali sesudah matimu di alam fana ini, di alam mana engkau akan dihisab dan diperhitungkan segala amal perbuatanmu. Tidakkah engkau tahu siapa yang telah menjadikan manusia ini pada mulanya dari bahan tanah, kemudian dari setetes air dirahim ibu, yang kemudian lalu berubah menjadi segumpal darah, jadi berdaging dan bertulang? Berbentuk berupa, kemudian diberinya roh atau jiwa. Maka lahirlah ke alam dunia menjadi bayi, akhirnya menjadi manusia yang bertenaga sebagai engkau ini. Apakah engkau tidak percaya, bahawa Tuhan yang telah dapat menciptakan manusia dengan jalan demikian itu, tidak akan dapat menciptakan alam akhirat sebagai ajaran agama Tuhan itu? Semua itu mudah sekali bagi Tuhan Yang Maha Kuasa. Tetapi engkau tidak mengakui ini, kerana mata hatimu sudah ditutup serapat-rapatnya oleh keengkaranmu sendiri, sehingga semua itu kau lupakan dan tidak mahu memikirkannya. Engkau hanya memikirkan wang dan kekayaanmu saja. Pendirianmu itu sajalah yang dapat engkau benarkan. Pendirian orang yang beriman, walaupun dengan alasan yang bagaimana juga banyak dan nyatanya, tetap kau tolak, kau engkari dan kau dustakan. Dengan pendirianmu yang demikianlah engkau telah menghina memandangku rendah, kerana kemiskinanku. Engkau menganggap dirimu lebih benar dari aku kerana hartamu yang lebih banyak itu. Aku dengan kemiskinanku ini lebih kaya daripadamu dengan kekayaanmu itu. Kekayaan yang sebenarnya, tidak terbatas pada wang dan harta saja, sedang engkau memandang kekayaan itu hanya dari segi wang dan harta saja. Kerananya, seluruh tenaga dan fikiranmu itu dikerahkan ke arah wang dan harta saja. Kekayaan yang sebenarnya, adalah terletak dalam perasaan, merasa cukup apa yang ada. Itu emas dan perak, perhiasaan yang berupakan intan dan berlian, kebun-kebun yang luas dan tanaman-tanaman di atasnya, menurut pandanganku adalah ibarat biji yang tumbuh di atas tanah, ada masanya tumbuh dan subur, tetapi ada pula masanya layu dan mati. Begitu pula ada masanya berada dan akan datang masanya habis dan lenyap kesemuanya itu, dikeranakan oleh terik panas matahari, atau kerana dilanda banjir, atau ditiup angin taufan. Adapun orang-orang sebanyak itu yang menjadi budakmu, menjadi pekerja dan buruh yang selalu kau sombong-sombongkan itu, belum tentu akan dapat engkau pekerjakan atau menolong bila engkau sedang ditimpa bahaya hebat, malah mungkin merekalah nanti yang akan mencelakakan dirimu sendiri. Adapun aku ini hanya ingin ditolong oleh Tuhan, iaitu menjadi kawan Tuhan, bukan menjadi musuhnya Tuhan. Buat aku nikmat yang paling penting, bukan harta dan kekayaan, tetapi adalah kesihatan badan dan hidup selalu dalam keredhaan Allah; asal diredhai Allah, aku tidak takut dimusuhi manusia. Asal dapat aku memperoleh Syorga yang dijanjikan Allah itu, aku rela sekalipun hidupku miskin di atas dunia yang fana ini, kerana hanya kebahagiaan hidup di dalam Syorga itu sajalah yang bakal kekal selama-lamanya. Adapun kebahagiaan dunia ini, hanya terbatas dalam jangka waktu yang amat singkat saja. Sekalipun kebun dan kekayaanmu itu berlimpah-limpah, serta terjaga rapi oleh penjaga-penjaga yang engkau beri upah, tetapi siapakah gerangan yang akan dapat menjaganya dari bahaya badai dan banjir besar? Siapakah yang dapat menjaganya dari hawa panas terik, sehingga kesemuanya menjadi kering? Itu air yang mengalir di dalam kebunmu, dapat menghidupkan dan menyuburkan tanaman dan binatang-binatang ternakmu, tetapi air itupun sewaktu-waktu dapat juga menghancurkan dan memusnahkan segala yang engkau tanam dan pelihara itu. Segala sesuatu mudah terjadi, bila telah dikehendaki oleh Allah yang menjadikan semua itu; kalau engkau tidak mahu patuh, tunduk dan selalu bertindak memusuhi terhadap Tuhan yang Maha Kuasa itu. Sehabis berkata-kata demikian, Yahuza segera meninggalkan tempat itu, meninggalkan saudaranya yang sudah nyata tidak akan menerima segala nasihat yang bagaimanapun juga baik dan jujurnya. Qutrusy segera pula kembali ke dalam kebunnya. Dia kembali asyik dengan harta kekayaannya saja, dia lupa akan semua nasihat yang didengar dari mulut saudaranya itu. Pada suatu hari, tidak lama setelah pertemuan dengan saudara-setelah dia bangun dari tidurnya pagi-pagi benar, sebagainya itu, kebiasaannya, segera dia keluar menuju kebunnya yang tak sedikit juga dari ingatannya, untuk bersenang-senang dan melihat segala kekayaan yang menjadi penghibur hatinya. Alangkah terkejut dan terperanjatnya, setelah dilihatnya bahawa semua tanaman-tanamannya yang subur dan menghijau itu, kesemuanya telah menjadi kering dan mati. Setetes air, sedikit angin pun tidak berhembus lagi di tempat itu. Melihat pemandangan itu, kering lidah dan mulutnya, gemetar sekujur badannya, lemah lunglai semua persendian dan tulangnya. Dia rebah ke tanah tidak bertenaga lagi. Dengan susah-payah dia menengadahkan kedua telapak tangannya ke langit, menunjukkan akan penyesalan dalam hatinya, dia merasa rugi atas segala dan susahpayahnya selama ini. Disanalah dia mengeluh dengan suaranya yang sayup-sayup kedengaran: Aku menyesal akan kemusyrikanku dan telah mengengkari Tuhan ! Sesalnya ini sudah terlambat, sesal kemudian sungguh-sungguh tidak ada gunanya samasekali ! |
|
0 komentar:
Posting Komentar